Tajuk : “Jangan ulangi kesilapan BN”- Tuan Ibrahim
Link Artikel/Video : “Jangan ulangi kesilapan BN”- Tuan Ibrahim
“Jangan ulangi kesilapan BN”- Tuan Ibrahim
KOTA BHARU – “Pakatan Harapan jangan ulangi kesilapan BN”, kata Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man ketika mengulas hubungan kerajaan negeri dan persekutuan selepas PRU14 lalu.
Menurutnya, Pas sebagai kerajaan pentadbir di Terengganu dan Kelantan mengalu-alukan hubungan baik federal antara pusat dan negeri, sekali gus berharap kerajaan persekutuan juga meraikannya dengan tidak melakukan kesilapan yang pernah terjadi zaman pemerintahan BN dulu.
“Kita harapkan kerajaan baharu tidak mengulangi kesilapan zaman Umno dan BN bila dia mewujudkan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) dan menyalurkan semua bantuan melalui JPP. Dia (BN) menyebabkan hubungan tidak begitu baik antara pusat dan negeri.
“Kalau boleh diwujudkan satu badan yang boleh menyelaraskan pembangunan, saya lebih suka terus kepada kerajaan negeri. Kita mesti iktiraf pilihan rakyat. Apabila rakyat Kelantan dan Terengganu sudah buat pilihan, kerajaan Pusat mesti jaga hubungan baik dengan negeri dan dapat kita teruskan. Kita harapkan begitulah,” katanya kepada media di sini.
Terdahulu, Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu sebelum ini membayangkan kerajaan persekutuan tidak akan melupakan pelantikan senator dan menteri dari Kelantan dan Terengganu, walaupun ditadbir pembangkang.
Tuan Ibrahim berkata, mengenai soal melantik senator dari negeri ini atau sebagainya, itu terletak kepada hak parti pemerintah namun memandangkan rakyat mahukan perubahan, beliau melihat inilah masanya untuk buktikan perubahan tersebut.
Menurutnya, pertemuan menteri besar kedua-dua negeri tersebut dengan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad baru-baru ini sangat positif dan Pas mengalu-alukan perkara tersebut.
Sumber SH