Atlet julang nama negara kini jual jambu selepas MSN tamat kontrak

Shukor Farhan Suliman (kanan) dan Mohd Nur Syafiq Suhaimy (kiri)
Bekas atlet negara yang dahulunya dijulang sebagai penyumbang pingat emas negara di Sukan Para Asean 2017 di Kuala Lumpur kini hidup terumbang-ambing selepas kontraknya ditamatkan Majlis Sukan Negara (MSN).

Shukor Farhan Suliman, 23 berkata, keputusan MSN itu menyebabkan beliau tidak dapat meneruskan kerjaya sebagai atlet kebangsaan, sebaliknya terpaksa meneruskan kehidupan dengan menjual buah jambu dan terlibat dalam perniagaan gunting rambut.

“Saya bersara bukannya disebabkan kerelaan hati kerana masih ada keinginan mahu berjuang untuk negara, tetapi mungkin rezeki sebagai atlet kebangsaan hanya sampai pada tahun lepas sahaja kerana kontrak tidak disambung.

“Selepas bersara saya ada menjalankan perniagaan. Saya ada kedai gunting rambut dan baru hendak berniaga menjual jambu,” katanya ketika ditemui FMT, di TTDI Jaya, Shah Alam.

Shukor berkata, MSN memberikan 2 sebab kepadanya untuk tidak meneruskan kontrak sebagai atlet, iaitu kegagalan mencapai sebarang pingat dalam Sukan Para Asia 2018 dan masalah disiplin.

“Saya gagal di Sukan Para Asia di Jakarta tahun lalu. Saya mengaku gagal. Hal ini kerana saingan saya adalah juara dunia dan pemenang pingat emas Olimpik dari negara China dan Jepun. Tetapi, bab disiplin ini saya tidak jelas.
Shukor Farhan sewaktu memenangi pingat emas dalam Sukan Para Asean 2017 di Kuala Lumpur.

“MSN kata mereka ada rekod disiplin, tetapi saya tidak pernah lihatpun. Apakah saya tidak serius sewaktu latihan? Sebagai atlet kita hendak berjaya dan sentiasa bersungguh-sungguh sewaktu latihan,” katanya.

Jelas Shukor, beliau tidak menjangkakan akan bersara pada usia yang sangat muda kerana percaya masih mempunyai kudrat untuk mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.

“Saya menyasarkan untuk jangka masa panjang dalam bidang sukan, memang minat saya ke arah itu. Memang saya tidak jangka umur 22 tahun sudah bersara, sedangkan sudah mewakili negara seawal usia 17 tahun,” katanya.

Tambah Shukor, beliau akui termakan dengan janji manis MSN sehingga memutuskan untuk tidak mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kerana mahu fokus kepada Sukan Para Asia di Korea Selatan.

“Mula-mula masuk MSN saya dijanjikan dengan bulan dan bintang. Masa saya umur 17 tahun jurulatih nasihatkan tidak ambil SPM kerana waktu peperiksaan sangat dekat dengan kejohanan peringkat Sukan Asia dahulu.

Mengulas mengenai perniagannya sekarang, Shukor berkata beliau kini selesa dengan kehidupan barunya sebagai orang biasa, tanpa sebarang publisiti media.

Shukor yang bakal menyambut cahaya mata pertama pada Februari depan mengaku masih bergelut dengan kekangan kewangan selepas ditamatkan kontrak oleh MSN.

Jelasnya, kerjaya sebagai atlet merupakan pekerjaan yang berisiko tinggi kerana setiap kecederaan yang dihadapi merupakan mimpi ngeri yang boleh menyebabkan kerjaya itu tamat.

Seorang lagi atlet paralimpik dalam acara berbasikal Mohd Nur Syafiq Suhaimy, 27 juga kecewa dengan tindakan MSN menamatkan kontraknya dengan alasan sudah tidak mampu mengayuh basikal.

Ia selepas Nur Syafiq mengalami patah kaki kanan akibat kemalangan di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR) pada September 2017, iaitu sehari sebelum Sukan Para Asean di Kuala Lumpur bermula.

“Kontrak saya tidak disambung atas alasan kaki patah kerana kemalangan. Mereka (MSN) kata saya sudan tidak boleh “perform”. Mana janji MSN dahulu yang mereka tabur, kononnya hendak berikan pekerjaan, kini semua hanya tinggal janji.

“Apabila tamat kontrak habis macam tu sahajalah, tidak ada pampasan, pencen atau sebagainya. Saya sendiri tidak boleh kata apa-apa. Apa yang mereka lakukan saya malas hendak bantah,” katanya.

Nur Syafiq berkata, beliau ketika ini membantu Shukor menguruskan gerai buah jambu dan akan melakukan apa sahaja demi mendapatkan rezeki halal.

“Kalau hendak minta kerja di agensi kerajaan memang sudah tidak boleh, jangan mimpilah. Jadi saya buat apa sahaja yang boleh asalkan dapat meneruskan kehidupan di Kuala Lumpur.

Nur Syafiq berkata, beliau dan Shukor merupakan 2 daripada 5 atlet kebangsaan yang tidak disambung kontrak oleh MSN dan menyifatkan ia perkara luar biasa apabila begitu banyak yang tidak disambung kontrak.

“Jika seramai 5 atlet tidak disambung kontrak, adakah ia masih kesalahan atlet itu sendiri. Seharusnya lihat skop lebih besar apakah punca kegagalan atlet,” katanya.

Sumber: FMT / Adam Abu Bakar

Mana mau lari?

POLIS kini giat memburu seorang lelaki yang dipercayai terbabit dalam kejadian pecah rumah di Selandar, jasin, awal bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Arshad Abu, berkata suspek dipercayai terbabit dalam dua kejadian pecah rumah di kawasan itu pada 6 September selepas kegiatannya dirakam kamera litar tertutup (CCTV).

Beliau berkata, dalam kejadian pertama, seorang peniaga kerugian kira-kira RM600 selepas rumahnya di Taman Jus Permai dipecah masuk melalui tingkap bahagian belakang.

“Kejadian hanya disedari lelaki berusia 54 tahun itu selepas pulang ke rumahnya pada 4.30 pagi apabila mendapati tingkap belakang sudah terkopak.

“Sebaik memasuki rumah, mangsa mendapati ruang tamu dan tiga bilik tidur dalam keadaan berselerak, selain wangnya berjumlah RM600 turut lesap,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Arshad berkata, dalam kejadian berasingan berhampiran lokasi kejadian pertama, suspek sama dipercayai turut cuba masuk ke rumah lain, namun gagal.

Beliau berkata, tindakan lelaki yang memakai sarung kepala itu berjaya dirakam CCTV di rumah berkenaan.

Katanya, sehubungan itu, polis kini memburu lelaki berkenaan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Sumber HM

Disangka gula-gula, anak dan 3 rakannya termakan pil ekstasi milik bapa


Seorang murid perempuan bersama dengan tiga lagi rakannya dari Riau, Indonesia, secara tidak sengaja termakan pil ekstasi yang dipercayai milik bapanya, berusia 46 tahun, yang hanya dikenali sebagai 'HR'. 

Difahamkan, pil itu ditemui oleh adiknya berusia dua tahun dalam kereta ibu bapa mereka, sebelum diserahkan kepada kakaknya. 
"Kanak-kanak itu menyangka pil yang ditemui dalam kereta ibu bapanya itu adalah gula-gula. Lalu dipotong dan diberi kepada rakan-rakannya untuk dinikmati bersama," kata jurucakap Polis Riau, Sunarto.

Keempat-empat mereka menelan pil tersebut, namun salah seorang daripada mereka segera meludah keluar pil itu kerana rasanya yang pahit. 

Tidak lama selepas itu, tiga daripada mereka mula berasa pening kepala sebelum dikejarkan ke hospital. Keadaan mereka dilaporkan stabil selepas menerima rawatan. 

Suspek, 'HR', kemudian ditahan dan didakwa atas penyalahgunaan dadah selepas uspek mengaku pil ekstasi itu adalah miliknya. 

Polis juga akan mendakwa suspek atas kecuaian dalam menjaga anak kerana menyebabkan nyawa mangsa dalam bahaya.

Sumber TR

'Kau ingat doktor sengaja suruh cairkan darah isteri kau?'


Suntikan heparin atau dikenali sebagai suntikan mencairkan darah diwajibkan ke atas wanita yang bersalin melalui pembedahan. Rata-rata wanita berasa gerun apabila mendengar suntikan ini apatah lagi suntikan ini ada yang mengatakan perlu dilakukan sendiri. Difahamkan, suntikan ini dikenakan kepada ibu-ibu yang bersalin secara pembedahan semasa tahun 2015 lagi.

Jika suntikan ini tidak diambil, kesan sampingan akan terjadi kepada ibu tersebut sehingga membawa kepada kematian. Tetapi, suntikan ini seperti dipandang remeh oleh seorang suami yang dikatakan mengamuk apabila tidak mahu menghantar isterinya untuk mendapatkan suntikan ini. 

Kheyr Hameed melalui statusnya di Facebook, menyelar tindakan suami seperti ini dan menganggap lelaki tersebut tidak prihatin dengan kesihatan isterinya.

MADAM dapat kes suami mengamuk tak nak hantar isteri untuk suntikan cairkan darah di hospital. Isteri baru bersalin beberapa hari secara c-sec dan diarahkan doktor untuk suntikan. Apa masalah nak mengamuk pun tak faham. Rasanya lelaki Melayu ni memang sinonim dengan amuk agaknya.
Wahai para suami terutama yang isterinya bersalin secara c-sec, ketahuilah bahawa setiap tahun di Malaysia, ada 13 atau 14 ibu bersalin meninggal dunia disebabkan darah beku dalam saluran darah paru-paru (pulmonary embolism). Dalam 100 kematian ibu bersalin di Malaysia, 60 orang disebabkan pulmonary embolism. Risiko kematian ibu Melayu lebih tinggi berbanding ibu lain.

Kadar kematian ibu Melayu disebabkan pulmonary embolism ialah tiga kali ganda lebih tinggi daripada kematian ibu di Eropah.

Pertama sekali, semua ibu dan ayah patut tahu yang kepekatan darah akan meningkat dalam saluran darah ibu hamil, sebab hormon ibu hamil akan merangsangkan badan menghasilkan lebih protein yang memekatkan darah. Tujuan memekatkan darah ialah untuk melindungi ibu bersalin daripada pertumpahan darah berlebihan selepas bersalin.

Kepekatan darah inilah punca kenapa risiko ibu hamil mendapat darah beku jadi 6 kali ganda lebih tinggi daripada wanita tidak hamil. Selepas bersalin, kepekatan darah masih tinggi pada 6 minggu berpantang.

Masalah mendapat pembekuan darah ini 5 kali ganda lebih tinggi selepas bersalin apabila dibandingkan sebelum bersalin. Terdapat perubahan kandungan air dalam saluran darah selepas bersalin yang menyebabkan darah jadi lebih pekat. Risiko paling tinggi sekali ialah pada tiga minggu pertama selepas bersalin.

Jadi, jangan ingat lepas je isteri uols meneran atau c-sec keluar baby, semua dah okey. Tolonglah ye alert hal-hal kesihatan post natal isteri. Bukan sahaja fizikal mereka tetapi juga emosi dan mental. 

Kau ingat doktor sengaja suruh cairkan darah macam tu kalau tak demi kesihatan? Akai ada ka??? Sukati kau je nak meroyan. Untung dapat isteri baik. Kalau dapat yang jenis geng setan, dah lama kau makan nasi kangkang sebab kuat meroyan.

Wan Azizah akan letak jawatan

“SAYA tidak akan ada lagi dalam Kabinet kalau beliau (Datuk Seri Anwar Ibrahim) jadi Perdana Menteri,” tegas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata, suaminya dijanjikan jawatan itu dan perkara itu sudah sedia maklum dalam kalangan ahli PKR iaitu apabila Anwar diterima sebagai Perdana Menteri, beliau berundur dan melepaskan jawatan dalam kerajaan.

Beliau Berkata demikian kepada media pada Majlis Jasamu Dikenang yang diadakan khas untuk beliau sempena 20 tahun penubuhan PKR di Dewan Yuk Yin, di Keningau, hari ini.

Terdahulu dalam ucapannya, Dr Wan Azizah yang juga Presiden PKR berkata, walaupun ada pihak mendakwa tindakan suaminya kembali ke arena politik sebagai tidak sabar dan tergesa-gesa, itu adalah hak Anwar selepas dinafikan sebelum ini.

Katanya, Anwar terpaksa melalui pelbagai keperitan bukan saja dilucutkan jawatan, malah terpaksa meringkuk di penjara selama 11 tahun.

“Kita selaku ahli parti ini, perlu sentiasa memberi sokongan atas pengorbanannya. Segala pengorbanannya amat besar untuk parti dan rakyat.

“Selain itu harus diingat, kita tidak menang dengan mudah dan selepas menjadi kerajaan, kita perlu melakukan yang terbaik demi rakyat.

“Tidak mustahil kita akan hilang tampuk kepemimpinan negara sekiranya leka dan mengulangi kesilapan seperti kerajaan terdahulu,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden PKR Rafizi Ramli ketika mengulas sama ada keputusan Dr Wan Azizah melepaskan jawatan dalam Kabinet memberi ruang kepadanya untuk kembali ke Parlimen berkata, perkara itu tidak pernah dibincangkan.

Beliau sudah menerangkan kepada pucuk pimpinan parti bahawa tidak akan kembali ke Parlimen menerusi Pilihan Raya Kecil (PRK).

“Kalaupun ada, keputusan untuk saya kembali itu di dalam Pilihan Raya Umum Ke-15, jadi Kak Wan (Wan Azizah) akan kekal sebagai Ahli Parlimen Pandan,” katanya.

Sumber HM

Wawa ketawa lihat gambar itu - Aeril Zafrel

KUALA LUMPUR - “Saya hanya ingin beri penegasan bahawa gambar bogel itu bukan saya,” ujar pelakon Aeril Zafrel apabila disoal tentang tindakannya memadam perkongsian gambar bogel yang miripnya di Instagram.

Aeril atau nama lengkapnya, Suhairil Sunari, 29, berkata, dia sudah mengetahui tentang kewujudan gambar berkenaan sejak kira-kira setahun lalu daripada seorang kenalan.

“Saya memang tidak sangka ia tular dan menjadi topik ‘membawang’ orang ramai di sosial media. Gambar berkenaan sudah saya tahu kewujudannya sejak kira-kira setahun lepas daripada seorang rakan.

“Apabila ditanya tentang kesahihan gambar tersebut oleh seorang wartawan semalam, saya tertawa. Segelintir orang memang suka menabur fitnah tanpa memikirkan soal dosa. Tidak mengapa, saya doakan sahaja yang baik-baik buat mereka yang terlibat menularkan gambar ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.

Ditanya apa reaksi isterinya, Wawa Zainal apabila mengetahui tentang kewujudan gambar tidak senonoh berkenaan, pelakon drama Patahnya Sebelah Sayap itu berkata, dia juga ketawa apabila melihat gambar yang tular itu.

“Wawa okey dan ketawa apabila melihat gambar itu. Dia lebih tahu fizikal saya bagaimana. Lagipun, lelaki dalam gambar itu tidak sunat dan terang-terang bukan saya,” ujarnya.

Terdahulu, Aeril memuat naik gambar yang memperlihatkan seorang lelaki dalam keadaan bogel dan menampakkan alat sulit di laman sosial Instagram miliknya.

Dia turut bersumpah bahawa individu dalam foto berkenaan bukan dirinya, malah berharap pihak yang membuat fitnah itu menerima balasan Allah.

“Wallahi Watallohi Wabillahi. Itu bukan saya. Biarlah Allah yang memberi balasan pada yang berterusan berniat atas fitnah ini. Sunat pun tak lagi yang dalam gambar tu. Maaf terpaksa tidak blurkan yang sepatutnya sebagai bukti tak sunat,” tulisnya menerusi ruangan kapsyen.

Sumber Kosmo

Terkejut bila Russia dedah peluru berpandu tembak MH17 milik siapa...

MOSCOW: Tentera Russia berkata hari ini, peluru berpandu yang menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines MH17, mengorbankan kesemua 298 penumpang di dalamnya, datang daripada senjata milik tentera Ukraine, bukan Moscow.

Pesawat itu ditembak jatuh peluru berpandu buatan Soviet di kawasan dikawal pemberontak di timur Ukraine pada Julai 2014, sejauh 40 kilometer dari sempadan Russia, di mana pertempuran berlanjutan selama beberapa bulan antara tentera Ukraine dan pemisah disokong Russia, lapor agensi Associated Press (AP).

Mei lalu, Netherlands dan Australia mengumumkan, mereka percaya, peluru berpandu itu dipindahkan ke Ukraine dari satu unit tentera di bandar Kursk, Russia.

Russia menafikan sekeras-kerasnya pembabitan negara itu dan selama bertahun muncul dengan pelbagai teori berkaitan puncah nahas, secara umumnya meletakkan kesalahan itu di pihak Ukraine.

Ketua Direktorat Artileri dan Peluru Berpandu Kementerian Pertahanan Russia, Leftenan Jeneral Nikolai Parshin memberitahu media hari ini, tentera sudah mengkaji dan mengubah status arkib di pusat penyelidikan di luar ibu kota ini yang menghasilkan peluru berpandu Buk selepas penyiasat Belanda memaparkan bahagian peluru berpandu dan nombor sirinya.

Parshin berkata, arkib Russia menunjukkan peluru berpandu yang dibuat daripada bahagian itu dipindahkan ke sebuah unit tentera di barat Ukraine pada 1986 dan pada pengetahuan Russia tidak pernah meninggalkan Ukraine.

Ditanya mengenai kemungkinan pemisah mungkin merampas sistem peluru berpandu ketika pertempuran pada 2014, jurucakap Kementerian Pertahanan, Mejar Jeneral Igor Konashenkov mengakui, Russia tidak memiliki sebarang dokumen membuktikan perkara sebaliknya, namun menunjukkan kenyataan pihak berkuasa Ukraine yang menafikan pemisah merampas mana-mana peluru berpandu Buk milik mereka.

Pasukan Siasatan Bersama, ditubuhkan negara yang hilang rakyatnya dalam nahas MH17 dalam satu kenyataan berkata, ia ‘mengambil perhatian’ mengenai maklumat didedahkan tentera Russia hari ini.

Penyiasat berkata, mereka meminta Russia maklumat berkaitan nombor siri namun tidak menerima balasan.

Beberapa minggu sebelum nahas, pemisah bercakap besar di media sosial mengenai menembak jatuh pesawat tentera Ukraine. Pada hari nahas MH17, seorang komander pemberontak menulis, tenteranya menembak jatuh sebuah pesawat tentera Ukraine.

Beliau kemudian berkata, akaunnya digodam dan pemberontak tidak menembak jatuh sebarang pesawat pada hari itu. -Agensi

Sumber BH