MB perlu sahkan kelulusan akademik demi imej PH Perak.


Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu perlu mengesahkan kelulusan akademiknya demi memelihara imej bersih, profesional dan berintegriti Pakatan Harapan negeri Perak.

Pengerusi Pakatan Harapan Perak, Ahmad Faizal Azumu, telah mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar (MB) Perak pada 12 Mei 2018 yang lalu.

Namun, menurut anak Perak di Perantauan Ahmad Jamali Sepihie keresahan para penduduk negeri Perak mengenai status kelulusan akademik MB Perak yang baharu ini rupanya masih berterusan.

Pada 11 Jun 2018 dilaporkan terdapat penularan di media sosial yang mempersoalkan kelulusan MB Perak sama ada beliau benar-benar berjaya mendapat Ijazah Kajian Perniagaan dari Universiti Edith Cowan, Perth Australia, sebagaimana yang telah diwawarkan di dalam profil professional di dalam Wikipedia, poster-poster di media sosial dan whatsapp.

Di media sosial, dikatakan ramai yang mengenali beliau telah mempersoal kesahihan kelulusan akademik MB Perak sebagaimana tertera di dalam poster Bernama.

Sebelum ini, Ahmad Faizal menyerahkan kepada rakyat untuk menilai kelulusan akademik yang dimilikinya ekoran tular di laman sosial pihak yang mempertikai perkara itu.

Beliau yang enggan mengulas lanjut berkata, terpulang kepada rakyat untuk menilai kesahihan Ijazah Kajian Perniagaan dari Universiti Edith Cowan, Perth Australia yang dimilikinya.

Sumber MD

'Rumah saya RM8 juta nak seleweng duit PTPTN untuk apa'

Amirudin dipilih MB Selangor cadangan nama Anwar, Mat Sabu


SULTAN Selangor memilih Adun Sungai Tua Amirudin Shari berdasarkan surat cadangan tiga nama yang dikemukakan oleh Ketua Umum Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim dengan disokong oleh Presiden Amanah Mohamad Sabu.

Anwar mengemukakan surat cadangan itu selepas diminta berbuat demikian oleh Sultan Selangor ketika beliau menghadap baginda sebelum ini.

Kunjungan Anwar itu berlangsung di Istana Bukit Kayangan di Shah Alam pada 31 Mei lalu. Ia turut disertai bekas menteri besar Selangor Mohamed Azmin Ali.

"Tiga nama itu termasuklah Amirudin dan Idris Ahmad yang sebelum ini dicadangkan oleh Wan Azizah dan disokong oleh ketiga-tiga pemimpin parti PH di Selangor," kata sumber kepada The Malaysian Insight.

Titah perintah menghantar tiga nama itu turut disampaikan kepada Mohamad ketika menteri pertahanan yang juga presiden Amanah itu menghadap Sultan Selangor.

Ekoran itu, Mohamad menghantar surat mencadangkan tiga nama sebagai calon menteri besar Selangor menggantikan Azmin.

"Bersatu dan DAP tidak menghantar surat baharu sebab sultan hanya minta dari PKR dan Amanah saja," kata sumber itu.

Sebelum surat Anwar, Wan Azizah dengan sokongan tiga pemimpin parti-parti PH di Selangor telah menghantar surat kepada baginda dan menamakan Adun Ijok Dr Idris Ahmad sebagai calon menteri besar.

Amirudin mengangkat sumpah sebagai menteri besar Selangor hari ini bagi menggantikan Azmin yang kini menteri hal ehwal ekonomi di bawah pentadbiran Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Sementara itu, Idris dilaporkan membuat laporan polis ekoran dakwaan beliau terpalit dengan skandal penipuan melibatkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Idris menyifatkan dakwaan itu cubaan menjatuhkan maruahnya bertujuan menghalang beliau dipilih sebagai menteri besar Selangor.

"Saya merujuk kepada peguam yang meminta saya membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya (kerana) penyebaran berita (dakwaan) ini boleh menjejaskan maruah saya sebagai wakil rakyat.

"Saya menafikan terlibat seperti didakwa berita yang disebarkan, ia tidak benar dan memfitnah saya," kata laporan polis itu.

Idris dijadual mengadakan sidang media pagi ini untuk menjelaskan tuduhan yang dilemparkan terhadapnya itu.

Sumber TMI

Pas gesa kerajaan PH utamakan rakyat bukan publisiti sementara


Kerajaan disarankan lebih berhati-hati dalam menguruskan perubahan polisi-polisi kini dan mengambil kira sensitiviti pasaran, kata Timbalan Pengerusi Lajnah Ekonomi & Pembangunan Usahawan Pas Pusat, Mazli Noor.

Menurutnya, langkah tersebut perlu bagi menjaga kepentingan pasaran dan rakyat ekoran laporan terbaharu Moody’s Investors Service berkenaan kesan polisi baharu kerajaan pada masa ini.

“Dalam apa saja tindakan, kepentingan rakyat haruslah menjadi keutamaan dan bukan hanya untuk mendapat publisiti sementara,” dipetik daripada artikelnya di Harakahdaily.

Menurutnya, pandangan daripada hasil analisa Moody’s bahawa peralihan kuasa telah menyebabkan ketidaktentuan polisi mampu menyebabkan penarafan negatif terhadap pasaran dan ekonomi negara secara keseluruhan.

“Penarafan negatif akan menjejaskan keyakinan pelabur asing kepada pasaran modal Malaysia dengan substantif.

“Ini telah terbukti dengan penarikan keluar modal oleh pelabur asing daripada pasaran Bursa Malaysia secara konsisten sejak mula terbentuknya kerajaan baru Malaysia,” ujarnya.

Mazli berkata, data terkini daripada MIDF Amanah Investment Bank Berhad menunjukkan jumlah terkini yang telah ditarik keluar oleh pelabur asing adalah RM3.02 bilion.

“Dalam tempoh jangka panjang, penarafan negatif juga akan menyebabkan profil risiko Malaysia juga akan merosot dengan teruk.

“Ini secara langsung akan mempengaruhi kadar faedah yang akan digunakan oleh pasaran Malaysia. Kadar faedah akan meningkat selaras dengan dengan kemerosotan profil risiko Malaysia,” ujarnya.

Akibatnya, tambah Mazli lagi, kos untuk pembiayaan aktiviti ekonomi di Malaysia akan bertambah mahal sekali gus bakal merencat perkembangan korporat, penawaran pekerjaan dan seterusnya permintaan domestik.

Sumber MD

Pertembungan peguam ternama dijangka dalam kes 1MDB

Para peguam ternama yang bakal bertembung dalam kes 1MDB. Grafik The Star.
Pertembungan antara peguam ternama dijangka akan berlaku apabila kerajaan Malaysia mendakwa bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dalam skandal 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).

Peguam Negara yang baru dilantik, Tommy Thomas dan bekas peguam negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dijangka mewakili kerajaan Malaysia dalam kes ini.

Tommy yang sebelum ini pernah disenaraikan dalam 500 peguam terbaik Asia melalui The Asia Pacific Legal 500 adalah orang terbaik untuk tugas ini, lapor The Star.

Sementara itu, Najib telah melantik bekas Peguam Negara Amerika di bawah George W. Bush, John Ashcroft.

Turut dijangka menjadi peguam Najib adalah para peguam terkenal dari Amerika, David Boies dan juga Matthew Schwartz.

Rosmah pula dikatakan akan diwakili oleh dua peguam tempatan iaitu Datuk K. Kumarasendran dan Datuk Gheetan Ram Vincent.

Kedua-duanya menemani Rosmah ketika disoalsiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini, lapor The Star.

Jho Low juga dikatakan mempunyai peguam terbaik termasuk peguam yang aktif di Amerika dan United Kingdom, Robin Rathmell.

Sumber MD

Anwar tegur Guan Eng bongkar penipuan kerajaan BN

KUALA LUMPUR: Menteri Kewangan Lim Guan Eng disaran supaya bijak mengimbangi antara tanggungjawab untuk meyakinkan pelabur, dan kepentingan untuk membongkar segala penipuan dan penyelewengan.

Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan agar tanggungjawab membongkar segala salah laku dan penyelewengan diserahkan kepada menteri atau agensi lain.

"Saya ada bertemu dan memberitahu Lim Guan Eng bahawa jawatan Menteri Kewangan ini statusnya lebih sensitif.

"Setiap kenyataan (oleh Menteri Kewangan) akan merujuk terus kepada pelabur," kata Anwar ketika rakaman temubual program 'AI' yang akan disiarkan 8.15 malam, Khamis ini.

Anwar yang juga bekas menteri kewangan ditanya mengenai laporan terbaharu oleh Moody's Investors Service yang menyatakan bahawa fasa peralihan kuasa ketika ini mencetuskan ketidaktentuan polisi.

Senario itu dibimbangi terus menyebabkan penarafan negatif terhadap ekonomi negara sekali gus menjejaskan keyakinan pelabur asing kepada pasaran modal Malaysia.

"Tetapi, dalam keadaan sekarang, menteri juga bertanggungjawab menyebut tentang segala bentuk perjanjian, membongkar penipuan.

"Beliau boleh tugaskan kepada satu atau dua menteri lain serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk menjelaskan mengenai segala pembongkaran," jelas Anwar.

Tambahnya, langkah tersebut membolehkan Guan Eng lebih fokus terhadap usaha mententeramkan serta meningkatkan keyakinan pelabur.

Sumber AA

Rupanya ini sebab penjaga gol Mesir tolak terima anugerah, memang respek!


MOSCOW: Penjaga gol Mesir, Mohamed El-Shenawy memilih untuk menolak daripada menerima trofi anugerah Pemain Terbaik Perlawanan dalam pertemuan Kumpulan A menentang Uruguay kerana ia ditaja oleh Budweiser.

Penjaga gol berusia 29 tahun itu menampilkan beberapa aksi menyelamat hebat untuk menafikan percubaan berbahaya Edinson Cavani dan Luis Suarez sebelum bolos di tangan Jose Gimenez pada minit ke-89 untuk negaranya tewas 0-1.

Sekali pun tewas, aksi memukau El-Shenawy cukup untuk memastikan dia diangkat sebagai pemain terbaik perlawanan dalam perlawanan di Arena Ekaterinburg.

Tetapi apabila diberitahu memenangi anugerah berkenaan, penjaga gol kelab El-Ahly itu memilih untuk tidak menerimanya berikutan ia ditaja oleh syarikat gergasi bir, Budweiser.

El-Shenawy beragama Islam dan bagi memenuhi tuntutan agama yang melarang pengambilan minuman beralkohol, dia menolak daripada menerima piala berwarna merah daripada syarikat itu.

Budweiser adalah penaja utama Piala Dunia 2018 di Russia selepas menandatangani perjanjian dengan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa untuk menjadi penaja minuman alkohol rasmi kepada temasya terbesar dunia itu.

Mesir muncul antara tujuh negara Islam yang beraksi di Russia bersama Arab Saudi, Maghribi, Iran, Tunisia, Senegal dan Nigeria.

Selain negara berkenaan, terdapat beberapa pemain Muslim yang beraksi termasuk pemain Perancis Paul Pogba dan Mesut Ozil (Jerman).

Mesir seterusnya akan berdepan tuan rumah Russia dalam pertemuan kedua esok sebelum melengkapkan aksi Kumpulan A menentang Arab Saudi pada 25 Jun ini.

Sumber BH