Tajuk : UMNO punya cukup harta - Ku Li
Link Artikel/Video : UMNO punya cukup harta - Ku Li
UMNO punya cukup harta - Ku Li
SEREMBAN - Calon Presiden UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah percaya parti orang Melayu itu mempunyai harta yang cukup untuk dimanfaatkan bagi menggerakkan pelbagai kegiatan dan aktiviti parti di semua peringkat termasuk akar umbi.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Gua Musang berkata, kebanyakan harta tersebut adalah dalam bentuk hartanah, bangunan dan saham dan diperolehi sejak tahun 60-an yang mana nilainya kini mungkin mencapai beberapa bilion ringgit.
Menurutnya, sebahagian daripada harta berkenaan dipegang atas nama pemegang amanah dan ada yang tidak ditukar nama selepas individu tersebut tidak lagi memegang jawatan dalam parti.
"Kalau kita dapat kumpulkan dan senaraikan semula sekarang, saya rasa UMNO mempunyai banyak harta. Tinggal lagi bagaimana hendak urus dengan baik dan mana yang perlu dilabur semula dalam pelaburan yang boleh memberi pulangan baik kepada parti.
"Insya-Allah, kita ada peluang untuk mendapat pulangan lebih daripada yang kita jangkakan," katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Sesi Ramah Mesra Bersama Tengku Razaleigh Hamzah di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu penamatan penyaluran peruntukan bulanan ke semua bahagian dan cawangan UMNO di seluruh negara melalui surat Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pada 22 Mei lalu.
Sumber- K! ONLINE