Tajuk : 'Jho Low kata dia rasa selamat...'
Link Artikel/Video : 'Jho Low kata dia rasa selamat...'
'Jho Low kata dia rasa selamat...'
LOW Taek Jho, individu utama yang dikehendaki penyiasat kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) didakwa memberitahu rakannya bahawa dia rasa selamat awal tahun ini kerana dilindungi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, lapor Wall Street Journal (WSJ).
Memetik sumber, WSJ melaporkan Low Taek Jho, yang lebih dikenali sebagai Jho Low, sudah menghubungi pihak berkuasa bagi membuat tawaran akan menghentikan tuntutan terhadap aset bernilai lebih AS$1 bilion sekiranya dia diberi jaminan kekebalan daripada pendakwaan, berikutan kekalahan Najib dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Sejak PRU-14 pada 9 Mei lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan serbuan di kediaman yang dikaitkan dengan Najib dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, yang turut dipanggil memberi keterangan berhubung SRC International, bekas anak syarikat 1MDB.
WSJ melaporkan, kekalahan Najib dalam PRU-14 menjadi tamparan kepada Jho Low, yang mendorongnya menghubungi pejabat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, baru-baru ini dengan tawaran untuk menghentikan usaha mendapatkan kembali aset yang dipertikaikan sekiranya dia diberi jaminan tidak akan didakwa.
Bagaimanapun, kata WSJ, Dr Mahathir menolak tawaran itu menerusi wakilnya dan dalam satu temu bual semalam, beliau Dr Mahathir memberitahu WSJ bahawa adalah sukar dari segi perundangan untuk memberi jaminan melepaskan Jho Low daripada tanggungjawabnya dalam skandal 1MDB sebagai balasan bagi menjejaki ke mana wang berkenaan diselewengkan.
“Saya pasti dia (Jho Low) menantikan insentif seperti ini bagi mengelakkan pendakwaan tetapi kita tidak boleh melakukannya, kerana ia melanggar undang-undang kita yang berlainan dengan undang-undang di Amerika Syarikat di mana runding akuan (plea bargain) dibenarkan," katanya.
Dr Mahathir menekankan, siasatan berhubung 1MDB kini semakin rancak dan matlamat utamanya ialah bagi pihak pendakwa mendakwa Najib jika bukti mencukupi bagi berbuat demikian tetapi ia akan mengambil masa.
“Sehingga mereka menemui bukti kukuh yang boleh diterima oleh mahkamah, mereka tidak boleh mengambil apa-apa tindakan," tegas beliau.
Media sebelum ini ada melaporkan bahawa Jho Low menerusi peguamnya, memberitahu SPRM bahawa dia sedia menemui pasukan penyiasat di Dubai tetapi tiada tarikh khusus ditetapkan.
Jho Low diwakili peguam daripada firma guaman Kobre & Kim, yang berpusat di New York dan berkepakaran dalam penyiasat dan pertikaian merentas sempadan.
WSJ juga melaporkan, Malaysia tidak mempunyai perjanjian ekstradisi dengan China tetapi sedang menggunakan saluran lain dengan Beijing bagi membawa pulang Jho Low ke Malaysia kerana berdasarkan laporan sebelum ini, Jho Low difahamkan menetap di Hong Kong, Macau dan China.
Usaha WSJ untuk menghubungi Jho Low dan Najib bagi mendapatkan komen setakat ini gagal.
Sumber HM