Showing posts with label Sukan. Show all posts
Showing posts with label Sukan. Show all posts

Atlet julang nama negara kini jual jambu selepas MSN tamat kontrak

Shukor Farhan Suliman (kanan) dan Mohd Nur Syafiq Suhaimy (kiri)
Bekas atlet negara yang dahulunya dijulang sebagai penyumbang pingat emas negara di Sukan Para Asean 2017 di Kuala Lumpur kini hidup terumbang-ambing selepas kontraknya ditamatkan Majlis Sukan Negara (MSN).

Shukor Farhan Suliman, 23 berkata, keputusan MSN itu menyebabkan beliau tidak dapat meneruskan kerjaya sebagai atlet kebangsaan, sebaliknya terpaksa meneruskan kehidupan dengan menjual buah jambu dan terlibat dalam perniagaan gunting rambut.

“Saya bersara bukannya disebabkan kerelaan hati kerana masih ada keinginan mahu berjuang untuk negara, tetapi mungkin rezeki sebagai atlet kebangsaan hanya sampai pada tahun lepas sahaja kerana kontrak tidak disambung.

“Selepas bersara saya ada menjalankan perniagaan. Saya ada kedai gunting rambut dan baru hendak berniaga menjual jambu,” katanya ketika ditemui FMT, di TTDI Jaya, Shah Alam.

Shukor berkata, MSN memberikan 2 sebab kepadanya untuk tidak meneruskan kontrak sebagai atlet, iaitu kegagalan mencapai sebarang pingat dalam Sukan Para Asia 2018 dan masalah disiplin.

“Saya gagal di Sukan Para Asia di Jakarta tahun lalu. Saya mengaku gagal. Hal ini kerana saingan saya adalah juara dunia dan pemenang pingat emas Olimpik dari negara China dan Jepun. Tetapi, bab disiplin ini saya tidak jelas.
Shukor Farhan sewaktu memenangi pingat emas dalam Sukan Para Asean 2017 di Kuala Lumpur.

“MSN kata mereka ada rekod disiplin, tetapi saya tidak pernah lihatpun. Apakah saya tidak serius sewaktu latihan? Sebagai atlet kita hendak berjaya dan sentiasa bersungguh-sungguh sewaktu latihan,” katanya.

Jelas Shukor, beliau tidak menjangkakan akan bersara pada usia yang sangat muda kerana percaya masih mempunyai kudrat untuk mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.

“Saya menyasarkan untuk jangka masa panjang dalam bidang sukan, memang minat saya ke arah itu. Memang saya tidak jangka umur 22 tahun sudah bersara, sedangkan sudah mewakili negara seawal usia 17 tahun,” katanya.

Tambah Shukor, beliau akui termakan dengan janji manis MSN sehingga memutuskan untuk tidak mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kerana mahu fokus kepada Sukan Para Asia di Korea Selatan.

“Mula-mula masuk MSN saya dijanjikan dengan bulan dan bintang. Masa saya umur 17 tahun jurulatih nasihatkan tidak ambil SPM kerana waktu peperiksaan sangat dekat dengan kejohanan peringkat Sukan Asia dahulu.

Mengulas mengenai perniagannya sekarang, Shukor berkata beliau kini selesa dengan kehidupan barunya sebagai orang biasa, tanpa sebarang publisiti media.

Shukor yang bakal menyambut cahaya mata pertama pada Februari depan mengaku masih bergelut dengan kekangan kewangan selepas ditamatkan kontrak oleh MSN.

Jelasnya, kerjaya sebagai atlet merupakan pekerjaan yang berisiko tinggi kerana setiap kecederaan yang dihadapi merupakan mimpi ngeri yang boleh menyebabkan kerjaya itu tamat.

Seorang lagi atlet paralimpik dalam acara berbasikal Mohd Nur Syafiq Suhaimy, 27 juga kecewa dengan tindakan MSN menamatkan kontraknya dengan alasan sudah tidak mampu mengayuh basikal.

Ia selepas Nur Syafiq mengalami patah kaki kanan akibat kemalangan di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR) pada September 2017, iaitu sehari sebelum Sukan Para Asean di Kuala Lumpur bermula.

“Kontrak saya tidak disambung atas alasan kaki patah kerana kemalangan. Mereka (MSN) kata saya sudan tidak boleh “perform”. Mana janji MSN dahulu yang mereka tabur, kononnya hendak berikan pekerjaan, kini semua hanya tinggal janji.

“Apabila tamat kontrak habis macam tu sahajalah, tidak ada pampasan, pencen atau sebagainya. Saya sendiri tidak boleh kata apa-apa. Apa yang mereka lakukan saya malas hendak bantah,” katanya.

Nur Syafiq berkata, beliau ketika ini membantu Shukor menguruskan gerai buah jambu dan akan melakukan apa sahaja demi mendapatkan rezeki halal.

“Kalau hendak minta kerja di agensi kerajaan memang sudah tidak boleh, jangan mimpilah. Jadi saya buat apa sahaja yang boleh asalkan dapat meneruskan kehidupan di Kuala Lumpur.

Nur Syafiq berkata, beliau dan Shukor merupakan 2 daripada 5 atlet kebangsaan yang tidak disambung kontrak oleh MSN dan menyifatkan ia perkara luar biasa apabila begitu banyak yang tidak disambung kontrak.

“Jika seramai 5 atlet tidak disambung kontrak, adakah ia masih kesalahan atlet itu sendiri. Seharusnya lihat skop lebih besar apakah punca kegagalan atlet,” katanya.

Sumber: FMT / Adam Abu Bakar

'Ini jenama mahal kot...'

PENYERTAAN atlet cilik ini cukup bergaya dengan memakai tali pinggang jenama Kiki Lala dan seluar sekolah yang mencuri tumpuan umum ketika penampilan sulungnya pada Sukan Asia 2018 di Jakarta-Palembang, baru-baru ini.

Malah, atlet papan selaju negara, Ian Nuriman Amri, 11, juga sekelip mata menjadi tular di media sosial apabila netizen merasakan dia terlalu ‘comel’ dengan memakai tali pinggang dan seluar sekolah berkenaan.

Ian Nuriman berkata, dia beranggapan tidak salah memakai pakaian apa sekalipun untuk bermain papan selaju asalkan dirinya selesa.

“Saya pakai Kiki Lala sebab ‘branded’ (berjenama) dan kenapa orang macam nak rasa kasihan pula, ini jenama mahal kot.

“Malah, saya suka pakai seluar sekolah kerana tahan, kalau pakai seluar ‘track suit’ cepat koyak apabila terjatuh,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Ian Nuriman menjadi atlet paling muda dalam kontinjen Malaysia yang beraksi di Sukan Asia dan menarik perhatian khalayak apabila terkejut melihatnya yang berketinggian hanya 135 sentimeter memasuki gelanggang di Stadium SkateBoard, Bandar Sukan Jakabaring, Palembang.

Bagaimanapun, murid Sekolah Kebangsaan Tiara Permai, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur itu gagal melepasi pusingan kelayakan acara Park lelaki dengan menamatkan saingan di tempat kesembilan daripada 10 peserta dengan mengumpul 49 mata.

Katanya, dia tidak mengambil pusing mengenai pendapat ramai mengatakan pakaiannya tidak bersesuaian dengan sukan ekstrem itu.

“Biarlah kalau orang nak ejek ke apa? Biasalah mak cik dan pak cik bawang sibuk hal orang. Apa yang penting selesa, bukan tengok jenama.

“Ramai cakap sebab keluarga saya tidak mampu tetapi sebenarnya boleh saja kalau saya nak beli jenama seperti Gucci ke, tetapi sayanglah nak pakai, orang kaya pun mesti tak pakai untuk main papan selaju,” selorohnya.

Dia yang bermain papan selaju sejak berusia empat tahun memang minat sukan lasak itu lebih-lebih lagi bapanya juga mempunyai minat yang sama.

“Saya selalu ikut ayah dan kawannya sebelum ini dan terus minat.

“Sukan Asia adalah pertandingan terbesar yang saya masuk setakat ini, tetapi kalau di Malaysia selalu saja masuk pertandingan lain,” katanya.

Sumber HM

Josiah digelar pengkhianat, ini komen padu Syed Saddiq!

PUTRAJAYA - Bekas pelumba basikal trek negara, Josiah Ng bukanlah seorang pengkhianat negara seperti yang dikecam netizen melalui media sosial, kata Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

"Pada saya, sesiapa yang memanggil dia (Josiah) sebagai pengkhianat, harus cermin diri dahulu...Mengapa mereka tidak mengiktiraf sumbangannya kepada Malaysia," katanya ketika diminta mengulas mengenai perkara itu.

Menurut Syed Saddiq, beliau berkesempatan bertemu dengan Josiah ketika berada di Velodrom Antarabangsa Jakarta semasa Sukan Asia dan sempat bertanya kenapa Josiah tidak mahu melatih skuad berbasikal Malaysia.

"Josiah kata, dia belum layak lagi untuk jadi jurulatih untuk Malaysia. Beliau perlukan sedikit masa lagi untuk membuktikan kebolehan beliau sebagai seorang jurulatih sebelum balik ke Malaysia dan melatih skuad basikal negara," katanya pada sidang akhbar di sini.

Syed Saddiq berkata Josiah tidak memberi alasan seperti mendapat wang ataupun tawaran tinggi dari negara lain sebaliknya mengakui masih belum layak untuk menjadi jurulatih Malaysia.

Dalam laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris semalam mengatakan bekas pelumba kebangsaan itu terkejut apabila komuniti media sosial mendakwa beliau sebagai pengkhianat selepas anak didiknya, Jai Angsuthasawit dari Thailand memintas jaguh trek negara Mohd Azizulhasni Awang dalam perebutan pingat emas acara keirin dalam Sukan Asia Jakarta-Palembang baru-baru ini.

"Banyak jasa yang telah Josiah berikan kepada negara. Dia adalah atlet berbasikal pertama Malaysia yang mara ke peringkat akhir acara keirin dalam Sukan Olimpik," kata Syed Saddiq.

"Beliau pernah meraih emas untuk negara tapi kita menggelarkannya sebagai pengkhianat.  Sumbangannya untuk negara sangat banyak sama ada di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

"Sepatutnya kita perlu rasa bangga kerana yang membantu Thailand meraih pingat itu adalah seorang rakyat Malaysia. Beliau mampu memberi sumbangan pembangunan sukan di Malaysia pada masa depan," tambah beliau.

Untuk rekod, Josiah mara ke peringkat akhir acara keirin pada temasya Sukan Olimpik Athens pada 2004 dan berkesudahan dengan berada ditempat kelima.

Dalam temasya Sukan Asia pula, beliau meraih tiga pingat perak - Busan 2002 (pecut), Doha 2006 (keirin) dan Guangzhou 2010 (keirin) serta satu gangsa dalam acara keirin di Incheon pada 2014. - Bernama

Sumber SH

Lagenda skateboard dunia, Tony Hawk komen aksi Fatin! Habis terdiam semua haters!!

SOKONGAN bertali arus terus diberikan kepada atlet papan selaju negara, Fatin Syahirah Roszizi selepas menerima kecaman hebat daripada netizen berikutan prestasI luar dugaan di temasya Sukan Asia Jakarta-Palembang minggu lalu.

Video kegagalan Fatin beraksi dalam acara papan selaju wanita itu menjadi tular dan dikecam hebat oleh netizen sehingga atlet itu memadam kesemua gambar di Instagram selain turut memuat naik kapsyen mohon maaf atas kegagalannya.

Video itu turut mendapat perhatian dunia luar sehingga legenda papan selaju dunia Tony Hawk memuat naik komen di Instagram memberi sokongan terhadap atlet muda negara berusia 16 tahun itu.

Dalam entri yang dimuat naik oleh atlet terkemuka papan selaju dunia berusia 50 tahun itu, beliau meminta agar Fatin untuk tidak putus asa meneruskan perjuangan dalam menaikkan martabat sukan papan selaju.

Malah apa yang berlaku kepada Fatin ketika temasya Sukan Asia baru-baru ini mampu untuk menjadi inspirasi kepada generasi muda di Malaysia.

“Jika saya terlalu mendengar komen negatif dari dunia luar sudah lama saya berhenti meluncur. Netizen ini hanya tahu untuk melepaskan kemarahan terhadap kegagalan dalam hidup mereka kepada anda.

“Jangan putus asa meneruskan perjuangan kerana anda mampu untuk menjadi inspirasi kepada generasi muda di Malaysia,” katanya.

Tony cukup dikenali dalam dunia papan selaju dan mengungguli setiap pertandingan yang disertainya. Juara dunia itu bukan saja hebat dengan aksi papan luncurnya, malah berjaya sebagai ahli perniagaan di samping memiliki pakaian, peralatan papan luncur, permainan video dan DVD dengan jenamanya sendiri, iaitu Tony Hawk.

Beliau menyertai kira-kira 103 pertandingan profesional dan menjuarai 73 daripadanya dan memenangi tempat kedua sebanyak 19 kali. Sehingga ke hari ini ia adalah pencapaian terbaik dalam sejarah sukan papan luncur.  Malah Tony pernah memenangi sesuatu kejohanan walaupun dia hanya tidur selama tiga jam pada malam sebelumnya.

Pembabitan Fatin buat pertama kali di Sukan Asia itu turut mendapat perhatian penyanyi terkemuka negara, Yuna.

Yuna turut menitipkan kata-kata semangat kepada Fatin dengan pesanan tiada apa yang lebih membanggakan daripada melihat seorang gadis berusia 16 tahun mewakili Malaysia dalam sukan.

“Kami faham yang kamu terlalu gementar saya pun gementar juga, sampai terlupa lirik semasa siaran langsung di TV dan sebagainya. Tapi tak mengapa, akan selalu ada peluang lebih baik dan kamu akan beraksi lebih bagus. Saya percayakan kamu.

“Ya, banyak cemuhan di luar sana tetapi mereka bukan pengemudi kapal kamu. Mereka tidak akan tahu macam mana rasanya menjadi kamu, harungi semua ini dan bangun semula.

“Mereka tidak mengalami semua ini, sebab itulah pengalaman ini sangat penting supaya kamu belajar daripadanya. Seperti mengatasi rasa takut kamu,” kata Yuna.

Terbaru Fatin dalam Instagram miliknya mengucapkan terima kasih kepada keluarga dan rakan-rakan yang tidak berhenti memberi sokongan.

“Tidak pernah akan berhenti dan terus berjuang selamanya,” katanya.

Sumber HM

Umur 16 tahun, remaja ini hadiahkan emas keenam negara!

Pelayar Negara, Muhammad Fauzi Kaman Shah meraih pingat emas dalam kategori Open Laser 4.7 akhir di Pusat Pelayaran Antarabangsa Indonesia pada Sukan Asia 2018 Jakarta-Palembang, disini, hari ini. GAMBAR: HAFIZ JOHARI

JAKARTA - Sambutan Hari Kebangsaan hari ini amat bermakna buat skuad pelayaran negara apabila berjaya meraih satu pingat emas, satu perak dan tiga gangsa dalam acara berkenaan yang melabuhkan tirai pada Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 di sini, hari ini.

Pelayar muda negara, Muhammad Fauzi Kaman Shah, 16, menghadiahkan pingat emas keenam kontinjen Malaysia selepas mengungguli acara Laser Terbuka 4.7 dengan mengutip 20 mata penalti di Pusat Pelayaran Kebangsaan Indonesia.

Pingat perak dan gangsa dalam acara berkenaan, masing-masih diraih wakil China, Wang Jianxiong (42 mata penalti) dan pelayar wanita India, Tomar Harshita dengan kutipan 62 mata penalti.

Satu lagi wakil negara dalam acara berkenaan, Nor Nabila Natasha Mohd Nazri pula menamatkan saingan di tempat ke-12 daripada 23 peserta dengan kutipan 111 mata penalti.

Pelayar Olimpik negara, Khairulnizam Mohd Afendy yang menjadi atlet pertama negara menempah tiket ke Sukan Olimpik Tokyo 2020, terpaksa berpuas hati dengan pingat perak dalam acara Laser Standard dengan kutipan 23 mata penalti.

Beliau berkongsi mata dengan pelayar Singapura, Ryan Lo Jun Han, namun juri pertandingan memutuskan pingat perak menjadi milik Khairulnizam selepas kiraan semula dilakukan.

Pingat emas acara berkenaan dimenangi juara bertahan, Ha Jee-min dari Korea Selatan yang mengekalkan emas dimenangi di laman sendiri pada edisi 2014 di Incheon, dengan kutipan 21.8 mata penalti.

Skuad pelayaran negara turut menyumbang tiga pingat gangsa, masing-masing dalam acara Laser Radial menerusi Nur Shazrin Mohamad Latif (36 mata penalti); 470 wanita melalui gandingan Nuraisyah Jamil dan Norashikin Mohamad Sayed (37 mata penalti) serta pasangan Illham Wahab dan Nuur Fatin Solehah Abdul Rahman dalam acara campuran RS One (103 mata penalti).

Kejayaan hari ini amat bermakna untuk Nur Shazrin yang sah mengiringi Khairulnizam ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Emas acara Laser Radial dimenangi pelayar Jepun, Doi Manami dengan kutipan 13 mata penalti, manakala perak diraih atlet China, Zhang Dongshuang yang mengumpul 36 mata penalti.

Gandingan Jepun, Ai Yoshida dan Miho Yoshioka pula mengungguli acara 470 wanita dengan kutipan 12 mata penalti, manakala pasangan Singapura, Elisa Yukie Yokoyama dan Cheryl Teo, terpaksa berpuas hati dengan kutipan perak setelah mengutip 21 mata penalti selepas berakhir 12 pusingan perlumbaan.

Acara RS One diungguli pasangan China, Chen Hao dan Tan Yue yang mengumpul 36 mata penalti, manakala wakil Hong Kong, Kikabhoy Rafeek dan Ma Kwan Ching menggondol pingat perak dengan kutipan 59 mata penalti.

Dalam pada itu, Khairulnizam yang ditemui media Malaysia berkata beliau tetap berbangga dengan pencapaiannya mengekalkan pingat perak yang dimenangi buat kali kedua berturut-turut selepas edisi 2014.

"Perlumbaan hari ini agak sengit memandangkan pelayar Korea Selatan itu memberi tentangan sengit. Pada penanda kedua, bot saya terbalik dan menyebabkan saya gagal mengejar pelumba Korea itu yang jauh ke hadapan dan saya akui ia kesilapan diri sendiri. Namun saya bertekad untuk memperbaiki persembahan saya pada kejohanan seterusnya," kata anak jati Kedah itu.

Berkongsi pandangan sama adalah Nur Shazrin yang gembira dapat meraih pingat gangsa dalam penampilan sulung pada Sukan Asia.

"Saya gembira dan bersyukur kerana dapat meraih pingat pada aksi pertama saya pada Sukan Asia dan berjaya layak ke Sukan Olimpik. Terima kasih kepada Majlis Sukan Negara, Institut Sukan Negara, jurulatih dan semua pihak yang membantu persediaan saya menghadapi Sukan Asia kali ini," jelas anak jati Pahang itu. - Bernama

Sumber Kosmo

Ini respons Azizulhasni bila gagal hadiahkan emas kedua negara

KECEWA...Reaksi kecewa atlet berbasikal trek negara, Mohd Azizulhasni Awang selepas gagal memenangi emas acara berbasikal final 'Keirin' lelaki pada Sukan Asia Jakarta Palembang 2018 di Velodrome Antarabangsa Jakarta hari ini.

JAKARTA - Jaguh berbasikal trek negara, Mohd Azizulhasni Awang gagal menambah koleksi pingat emas apabila menduduki tempat ketiga dalam acara keirin pada Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 di Velodrom Antarabangsa Jakarta hari ini.

Pada saingan hari ini, juara keirin dunia 2017 itu yang memenangi pingat emas dalam acara pecut semalam, gagal meneruskan kayuhan cemerlangnya untuk berada dalam kedudukan teratas podium dan terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa.

Mohd Azizulhasni yang meraih gangsa pada Sukan Olimpik 2016 di Rio, mencatat masa 10.203 saat di belakang pemenang pingat emas, Jai Angsuthasawit dari Thailand (10.029s) dan pelumba Jepun, Yudai Nitta yang ketinggalan hanya 0.003s untuk meraih pingat perak.

Bercakap kepada pemberita selepas perlumbaan, Mohd Azizulhasni mengakui kecewa dengan pencapaian tersebut kerana percaya mampu mencatat keputusan lebih baik.

"Keputusan yang menyedihkan sebab saya yakin boleh dapat pingat emas dan persembahan saya juga berada di tahap terbaik. Daripada awal saya simpan tenaga dan tidak mahu menggunakan sepenuhnya sehingga ke final.

"Ia bertambah ralat apabila saya menamatkan perlumbaan final ini tanpa saya berasa penat. Saya tidak menggunakan seluruh tenaga. Saya tidak dapat nak melakukan pecutan terakhir sebab saya tidak mempunyai ruang dan jika saya tetap berbuat demikian, perlumbaan saya mungkin dibatalkan," katanya.

Sementara itu, seorang lagi pelumba Malaysia - Muhammad Shah Firdaus Sahrom menamatkan saingan acara itu di tempat ketujuh. - Bernama

Sumber Kosmo

Dikecam netizen, Fatin dedah punca sebenar gagal 'perform' pada Sukan Asia

PETALING JAYA: Menerima kecaman selepas gagal menunjukkan prestasi cemerlang pada temasya Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018, atlet wanita papan selaju, Fatin Syahirah Roszizi akhirnya tampil menjelaskan situasi sebenar yang menimpa dirinya.

Fatin menjelaskan, punca dia tidak fokus dan gagal memaparkan aksi memberansangkan ketika saingan itu disebabkan kecederaan ligamen yang dialami pada buku lali kaki kirinya.

"Sebulan sebelum pertandingan saya ada menjalani latihan di Palembang.

"Ketika itu, saya terjatuh dan mengalami kecederaan ligamen pada buku lali kaki kiri.

"Nak jalan pun sakit, orang mana tahu..., ujar remaja berusia 16 tahun itu kepada mStar Online ketika dihubungi pada Khamis.

Kecederaan ligamen yang dialami Fatin antara punca dia gagal mempamerkan aksi cemerlang pada temasya Sukan Asia 2018

Mengakui agak gementar dan tidak bersedia berdepan perlawanan peringkat rantau ini, Fatin memberitahu dia hanya mempunyai tempoh kurang dua bulan bagi menyiapkan diri untuk temasya besar itu.

"Saya sempat 'training' untuk Sukan Asia hanya sebulan lebih sahaja kerana kecederaan ligamen yang dialami.

"Ia sangat memberi kesan terhadap prestasi saya kali ini kerana gagal menunjukkan aksi cemerlang bagi mengumpul mata.

"Sebulan lebih satu tempoh yang singkat untuk saya menyiapkan diri kerana dalam masa itu kecederaan belum sembuh sepenuhnya.

Selain itu, netizen turut mempersoalkan kriteria pemilihan bagi acara itu.

Menurut Fatin, dia dipilih mewakili negara di Sukan Asia selepas merangkul gelaran juara pada Malaysia Extreme Sports Championship 2017.

"Sebelum ini saya bermain hanya untuk suka-suka dan belajar sendiri dengan kawan-kawan," katanya yang mula bermain papan selaju sejak berusia 13 tahun.

Selain itu, beliau menjelaskan, keputusannya memadam kesemua gambar miliknya adalah disebabkan kecewa dan tidak sanggup menerima kecaman netizen.

"Saya berasa tertekan dengan komen yang ditinggalkan segelintir netizen pada gambar di Instagram saya.

"Kecaman yang diberikan sangat kuat hingga membuat saya patah semangat, kerana itu saya buat keputusan untuk memadam semua gambar di akaun Instagram saya, katanya.

Fatin memadam kesemua gambar yang dimuatnaik ke akaun instagram miliknya

Sebuah klip video yang memaparkan aksi kurang memberansangkan atlet papan selaju wanita negara menjadi tular dan menerima kritikan hebat dari netizen selepas menamatkan aksi di tangga tercorot dengan aksi buruk seawal permainan bermula.

Fatin dilihat gagal mempamerkan aksi-aksi menarik bagi mengumpul mata apabila hilang kawalan pada 'skateboard' miliknya.

Dalam perlawanan itu, Fatin hanya mengumpul sebanyak 5.4 mata sahaja.

Sumber MS