'KJ perlu ukur baju di badan sendiri'

'KJ perlu ukur baju di badan sendiri' - Salam/Hi sahabat VHarian, Dalam video/artikel kali ini bertajuk 'KJ perlu ukur baju di badan sendiri', kami telah menyediakan konten ini dengan baik untuk anda tonton atau baca dan ambil informasi melaluinya. Semoga isi perkongsian Info Politik, Info Semasa, yang kami kongsikan ini dapat anda fahami. Baiklah, selamat menonton/membaca artikel di bawah. Sekiranya tidak faham, boleh scroll ke bawah untuk terus lihat video/artikel berkenaan.

Tajuk : 'KJ perlu ukur baju di badan sendiri'
Link Artikel/Video : 'KJ perlu ukur baju di badan sendiri'

Baca juga


'KJ perlu ukur baju di badan sendiri'


KUALA LUMPUR: Langkah Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menawarkan diri bertanding jawatan Presiden pada pemilihan parti akhir bulan ini, menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan pemerhati politik.

Antaranya, beliau dikatakan masih kurang berpengalaman berbanding dua lagi pencabar, iaitu pemangku Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah atau lebih dikenali sebagai Ku Li.

Bagaimanapun, ada juga pemerhati mengalu-alukan hasrat Khairy Jamaluddin itu dalam usaha memberi lebih banyak pilihan kepada perwakilan UMNO menentukan kepemimpinan baharu parti.

Penganalisis politik, Dr Ainul Adzellie Hasnul, berpendapat tindakan Khairy Jamaluddin menawarkan diri bertanding jawatan Presiden, menggambarkan wujudnya demokrasi dalam parti, namun Ahli Parlimen Rembau itu harus mengukur baju di badan sendiri.

Katanya, UMNO mesti dipimpin oleh individu yang kuat, berkredibiliti, diyakini dan disegani semua pihak sama ada kawan atau lawan.

Justeru, beliau berkata, hanya Ku Li dilihat sebagai pemimpin yang mampu melawan Tun Dr Mahathir Mohamad dan bukan Khairy Jamaluddin mahupun Ahmad Zahid.

"Bukan bermaksud KJ (Khairy Jamaluddin) tidak ada pengalaman tetapi seeloknya jawatan parti paling utama ini ditandingi oleh mereka yang sudah matang dalam erti kata melalui pengalaman banyak dalam parti.

"KJ seeloknya bertanding jawatan Naib Presiden bagi membantu parti. Walaupun Ku Li berusia 81 tahun, pengalaman beliau itu yang diperlukan UMNO.

"UMNO boleh terus menarik orang muda untuk menyokong dan menyertai parti itu kerana pengalaman Ku Li dapat memastikan UMNO menjadi satu wadah yang boleh memperjuangkan nasib orang Melayu khususnya dan rakyat Malaysia amnya," katanya.

Mengulas lanjut, Ainul Adzellie berkata, hanya dengan pengalaman dapat membantu UMNO bangkit menjadi pencabar dan pembangkang yang kuat terhadap kerajaan.

Beliau berkata, jika pemimpin muda menerajui UMNO, dikhuatiri tidak dapat menangani segala permasalahan yang bakal berlaku kerana tiada kematangan dalam mengatasinya.

"Ku Li pernah mencabar Dr Mahathir sebagai Presiden UMNO pada 1987. Ku Li juga boleh dianggap negarawan kerana pernah berkhidmat sebagai Menteri Kewangan serta Menteri Perdagangan dan Industri Antarabangsa.

"Saya yakin perwakilan UMNO dapat membuat pilihan terbaik demi masa depan parti itu yang sudah menjangkaui umur 72 tahun," katanya.

Sementara itu, pensyarah di Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain, berkata jika Khairy Jamaluddin terpilih, beliau ada banyak masa untuk merancang dan memulihkan sokongan rakyat kepada UMNO.

Katanya, sebagai orang muda, beliau ada kelebihan memikat hati golongan itu mendekati UMNO.

Namun, beliau berkata, Khairy Jamaluddin pada masa sama perlu menyantuni kumpulan orang lama dalam UMNO yang masih sentimental dengan gaya politik lama.

"Pertembungan kumpulan tua dan muda dalam pemilihan kali ini sangat menarik kerana masing-masing membawa pendekatan berbeza. Ku Li adalah pemimpin UMNO yang berpengalaman, namun masih diselubungi imej elit yang boleh mengukuhkan amalan feudalisme dalam parti itu.

"Jika Ku Li dipilih, beliau dilihat sebagai pemimpin transit sahaja bagi tempoh tertentu dalam fasa pemulihan UMNO sedangkan KJ boleh dianggap pemimpin masa depan UMNO," katanya.

Mohd Izani sekali gus meminta perwakilan UMNO mengangkat pemimpin yang benar-benar bersih dan dilihat bersih, selain berharap pemilihan kali ini menyaksikan calon bertanding atas kapasiti diri sendiri.

"Inilah masanya pemimpin bertanding untuk kelangsungan parti dan bukan bagi kepentingan peribadi," katanya.

Selain tiga pemimpin berkenaan, jawatan Presiden turut menarik minat seorang penulis blog, Rahmat Azim Abdul Aziz yang sudah mengemukakan borang pencalonan.

Bagaimanapun, pencalonan Rahmat Azim berisiko ditolak kerana gagal memenuhi kelayakan asas, iaitu pertandingan bagi jawatan Presiden memerlukan seseorang itu pernah menjadi Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO.

Sumber BH