Tajuk : Saya akan lantik Ku Li jadi penasihat jika menang, kata Khairy
Link Artikel/Video : Saya akan lantik Ku Li jadi penasihat jika menang, kata Khairy
Saya akan lantik Ku Li jadi penasihat jika menang, kata Khairy
PETALING JAYA: Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin akan melantik pesaingnya, Tengku Razaleigh Hamzah sebagai penasihatnya jika dipilih sebagai presiden Umno pada pemilihan parti akhir bulan ini.
Khairy berkata, nasihat veteran Umno yang lebih dikenali sebagai Ku Li itu sangat penting kepada parti bagi menentang Pakatan Harapan (PH) yang diketuai Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, khasnya dalam suasana politik baru selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
“Saya cadang nak tubuh majlis penasihat kepada presiden Umno dan beliau jadi pengerusi kepada majlis penasihat tersebut.
“Ku Li merupakan kontemporari kepada Dr Mahathir dan percaya nasihat beliau sangat diperlukan untuk berdepan dengan Dr Mahathir,” katanya dalam wawancara bersama Sinar Harian yang disiarkan secara langsung di Facebook hari ini.
Pemilihan Umno pada 30 Jun ini ialah yang pertama selepas pemilihan yang sepatutnya diadakan pada Oktober 2016 ditangguhkan selama 18 bulan dan parti itu kalah teruk pada PRU14.
Khairy akan berdepan 6 pencabar, iaitu pemangku presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Ku Li, blogger bernama Rahmat Azim Abdul Aziz, Rosile Saat (Umno Bangi), Mohamed Iqbal Maricair (Umno Bandar Tun Razak) dan Mohd Yusof Musa @ Jamaluddin (Umno Iskandar Puteri).
Semalam, Khairy dilaporkan berkata, beliau tekad menghapuskan budaya wala’ dalam parti dengan memansuhkan usul menyekat ahli mencabar penyandang jawatan tertinggi Umno.
Beliau juga berjanji memberi kebebasan bersuara untuk ahli mengkritik kepimpinan parti, jika dipilih sebagai presiden.
Hari ini, Khairy berkata, satu lagi manifestonya ialah mempelawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memantau pemilihan Umno seterusnya, jika beliau dipilih menerajui parti itu.
Katanya, ini antara pembaharuan yang akan dibawanya bagi memastikan pimpinan dicalonkan bersih daripada rasuah.
“Kita boleh kerjasama dengan SPRM untuk memantau pemilihan Umno akan datang.”
Bagaimanapun, jika kalah dalam pertandingan 7 penjuru itu, Khairy berikrar akan terus setia bersama parti dan memberi sokongan penuh kepada presiden Umno yang baru.
“Saya seorang yang setia kepada Umno dan kalau kalah tidak akan ke mana-mana dan akan setia dengan presiden Umno baru tidak kira Zahid atau Ku Li.”
Sumber FMT