Tajuk : Ahli parlimen lewat masuk dewan. Menteri tampil beri penjelasan!
Link Artikel/Video : Ahli parlimen lewat masuk dewan. Menteri tampil beri penjelasan!
Ahli parlimen lewat masuk dewan. Menteri tampil beri penjelasan!
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong menjelaskan kebanyakan anggota Parlimen Pakatan Harapan (HARAPAN) terlewat memasuki dewan pada persidangan Dewan Rakyat petang semalam berikutan mereka menghadiri satu taklimat.
Beliau berkata persidangan Dewan Rakyat yang sepatutnya bersambung pada 2.30 petang semalam hanya ditangguhkan selama enam minit.
“Saya difahamkan selepas waktu makan tengah hari berakhir jam 2.30 petang semalam Datuk Alexander Nanta Linggi (GPS-PBB Kapit) bangkitkan mengenai mesyuarat tidak cukup korum dan loceng telah dibunyikan untuk kali kedua pada pukul 2.32 petang.
“Kebanyakan MP (anggota Parlimen) HARAPAN semasa itu memang di dalam Bangunan Parlimen, cuma mereka terlambat masuk kerana menghadiri satu taklimat. Persidangan pun telah bersambung 2.36 petang, cuma lewat enam minit sahaja,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen di sini, hari ini.
Sementara itu, ditanya sama ada beliau bersetuju dengan cadangan supaya elaun bulanan anggota Parlimen yang gagal hadir ke Dewan Rakyat dipotong, Liew berkata beliau tidak bersetuju kerana ramai anggota Parlimen yang baharu yang belum biasa dengan peraturan Dewan Rakyat.
“Tetapi jika perkara ini berterusan satu tindakan akan dilakukan dan kerajaan akan bincangkan di mesyuarat Kabinet hari ini,” katanya.
Semalam, Persidangan Dewan Rakyat terpaksa ditangguh seketika kerana tidak cukup korum.
Perkara itu turut mendapat perhatian bekas menteri kebinet Tan Sri Rais Yatim melalui status Twitternya yang menyatakan cara terbaik mengatasi masalah Dewan Rakyat tidak cukup korum adalah melalui potongan elaun bulanan anggota Parlimen mengikut kadar arahan Jawatankuasa Pemilih Dewan.
- Bernama
Sumber MK